Rakan Blogger

Saturday, January 4, 2020

Tahun Baharu 2020

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan.

Selamat datang kepada semua rakan blogger dan pembaca setia yang sudi singgah ke blog Kancil 8349.

Agak lewat post tahun baharu. Biasalah kerana tanggungjawab yang banyak perlu diselesaikan satu persatu. Bukan sahaja diri, keluarga malah kerjaya juga. Tahun ini, anak Kancil yang pertama telah melangkah masuk ke alam sekolah menengah. Satu lagi perubahan dalam keluarga kami. Perlu bersedia dengan perubahan yang akan berlaku pada dirinya dan kami semua.

Tahun ini juga, Kancil diberikan amanah menjadi guru kelas. Itu pun setelah 10 tahun bergelar guru. Dahulu, selalu menjadi pembantu guru kelas. Dan pernah juga Kancil menolak pelawaan menjadi guru kelas kerana komitmen yang banyak. Biasalah, ada sahaja orang yang akan bising kerana tidak memahami keadaan kita. Malah terus membuat andaian seperti dia lebih baik tapi bila disuruh...dialah orang pertama melarikan diri malah memberi alasan yang tidak masuk akal.

Menjadi guru kelas ini banyak pengorbanannya dan kerjanya. Jika kita tidak merasa jawatan ini kita tidak akan tahu keadaannya. Oleh itu, janganlah dianggap kerja guru kelas ini senang seperti senangnya dia melemparkan senyuman. Menjaga 30 hingga 40 orang anak murid adalah satu hal yang berbeza. Lebih - lebih lagi bermacam latar belakang keluarga. Harus diingatkan bahawa setiap tahun berbeza murid dan ibu bapa. Tidak sama seperti tahun - tahun yang sudah. 

Insya Allah Kancil akan ceritakan pengalaman Kancil mengurus kelas pada post yang seterusnya. Namun apa yang ingin Kancil kongsikan pada hari pertama ialah ada di kalangan ibu bapa tidak mengetahui persekolahan telah bermula. Sehingga peratus kehadiran pada hari pertama tidak mencapai 90%. Dengan dunia teknologi terkini mustahil mereka tidak mengetahui apa - apa melainkan mereka menutup dunia mereka. Satu perkara yang melucukan sehingga hari persekolahan pun tidak tahu.

Selain itu, masih ada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke kelas dan menunggu di luar kelas. Kalau murid tersebut tahun 1, rasanya tidak mengapa tetapi ini sudah tahun 4. Ini namanya kasih sayang ibu bapa terhadap mereka. Belum lagi di sekolah menengah. Anak Kancil memberitahu bahawa ada ibu bapa menghantar anak mereka masuk ke dalam kelas dan menunggu di luar sehingga habis waktu pdp. Aduh....terlebih sayang pada anak pula.

Apapun kita tidak mengetahui apa isi hati mereka. Mengapa bertindak demikian? Mungkin tidak percaya bahawa anak mereka sudah melangkah masuk ke alam sekolah menengah. Mungkin juga mereka beranggapan bahawa anak mereka masih kecil untuk berada di dalam sekolah menengah. Apapun itu pandangan mereka.

Terima kasih kerana sudi singgah ke blog Kancil 8349.




1 comment:

Umi Nazrah said...

waalaikumussalam. rasa sangat tak logik menunggu anak tingkatan 1 tu. huhu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...