Selamat datang dan salam perpaduan kepada semua rakan blogger dan pembaca setia blog Kancil 8349.
Entri ini sekadar perkongsian dan mungkin ramai guru yang pernah mengalami apa yang bakal Kancil kongsikan. Dan ini perkara biasa yang berlaku di mana - mana sekolah di Malaysia khasnya dan umumnya di dunia. Jika ada yang tersinggung, Kancil berharap fikirkan di sudut positif demi kebaikan anak - anak kita.
Acapkali murid berdarah atau luka, gurulah orang yang paling resah dan panik mengurus murid tersebut. Guru yang berada di dalam kelas tersebut berusaha untuk mengubati murid yang luka sehingga anak murid yang lain terabai seketika kerana seorang murid. Dalam masa yang sama berusaha untuk memujuk murid tersebut tidak menangis.
Bila masa guru tiada di dalam kelas, apa lagi murid - murid mula membuat bising di dalam kelas. Aktiviti yang paling mereka suka buat adalah berlari di dalam kelas. Lari punya lari terhantuk meja dan berdarah lagi. Guru yang baru mengubati murid yang berdarah, bertambah panik lagi. Itulah situasi sebenar keadaan seorang guru di dalam kelas.
Tetapi, ada ibu bapa terus menghukum guru. Terus membuat tuduhan tanpa bertanya punca dan sebab. Kalau boleh, gurulah yang bertanggungjawab di atas kecederaan anaknya. Yang paling tidak suka dengar ;
"Apa yang guru buat di dalam kelas?"
Tapi cuba kita tanya apa yang mereka (ibubapa) buat kepada anak mereka sehingga kenakalan berlaku di sekolah tetapi tidak di rumah? Kenapa? Sebab mereka tidak berpesan kepada anak mereka. Pernahkah mereka berpesan kepada anak mereka, jika tiada guru di dalam kelas, mereka kena mengulangkaji? Dan pernahkah mereka berpesan kepada anak mereka jangan bermain semasa berada di sekolah? Mungkin ada ibu bapa yang berpesan dan mungkin juga tidak.
Apapun, jika ibubapa tidak memainkan peranan dan membantu guru untuk mendidik anak mereka. Anak mereka pasti hanyut dengan dunia mereka sendiri. Sebab ibubapa lebih masa dengan anak - anak mereka berbanding dengan guru yang hanya beberapa jam di sekolah. Ibu bapa seharusnya mengambil masa terluang untuk bertanyakan apa aktiviti anak mereka di sekolah agar dapat menasihati mereka jika aktiviti tersebut membebankan mereka.
Pernah sekali, seorang ibu murid berjumpa dengan Kancil. Dia melarang Kancil mengajar anaknya melakukan aktiviti yang melibatkan banyak pergerakan seperti berlari dan melompat. Kerana anaknya selalu penat bila sampai ke rumah semuanya kerana aktiviti pengajaran Kancill. Sedangkan masa mengajar Kancil hanya 30 minit dan itu pun bukan anaknya seorang. Ada 40 orang murid menunggu giliran untuk melakukan aktiviti tersebut.
Yang peliknya, dia tidak tengok apa aktiviti anaknya sewaktu di sekolah. Anaknya boleh bermain lari - lari selama 40 minit sebelum waktu persekolahan petang, 20 minit waktu rehat dan 15 minit menunggu bas anaknya datang. Semuanya 75 minit setiap hari dan 375 minit seminggu. Sedangkan Kancil hanya mengajar anaknya 60 minit seminggu. Tapi yang menjadi punca anaknya penat tahap gaban setiap hari adalah pengajaran Kancil. Walhal, dalam seminggu hanya 2 kali sahaja berjumpa.
Itulah risiko yang dihadapi oleh guru apabila berhadapan dengan ibu bapa seperti ini. Terus menghukum guru tanpa usul periksa. Apapun, Kancil berharap ibu bapa yang diluar sana. Jika berlaku sesuatu kepada anak di sekolah, soal siasat dulu punca dan sebab ia terjadi. Dan janganlah disebabkan 'title' tinggi dalam organisasi, lupa pada 'title' seorang guru.