Rakan Blogger

Wednesday, June 22, 2011

Perlumbaan Perahu Naga Di Kota Kinabalu


KOTA KINABALU 20 Jun - Perlumbaan Perahu Naga Sabah Ke-26 yang berakhir semalam di Teluk Likas, dekat sini menyaksikan Kijang Berantai dari Indonesia mengungguli Piala Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Juhar Mahiruddin, manakala pasukan Tanjung Papat dari Sandakan menjuarai Piala Ketua Menteri.

Pertandingan dua hari tersebut menyaksikan persaingan 60 pasukan dari dalam dan luar negara bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM43,000. Namun bukan itu yang cuba diperkatakan oleh penulis yang menyaksikan pertandingan tersebut buat kali pertama.

Menerusi cerita daripada rakan media, sambutan yang diberikan oleh orang ramai terhadap penganjuran sukan tersebut sangat meriah. Seperti yang dikhabarkan, perkara tersebut sangat benar dan masalah pertama yang dihadapi penulis semasa tiba untuk membuat liputan ialah mencari tempat letak kereta. Bermula pada pukul 7 pagi, sepanjang jalan raya di dua laluan lokasi pertandingan dipenuhi dengan deretan kenderaan yang sudah tersusun panjang sejauh satu kilometer.

Setelah penat mencari tempat letak kereta dan terpaksa berjalan jauh, akhirnya penulis sampai ke lokasi pertandingan yang sudah dipenuhi dengan orang ramai bersama ahli keluarga. Apa yang menarik perhatian adalah bagaimana kemeriahan kejohanan itu disambut. Bukan sahaja terhadap perlumbaan perahu naga, malah suasana kekeluargaan yang ditunjukkan di sekitar lokasi pertandingan. Ada yang menghamparkan tikar dan menikmati makanan bersama keluarga, bermain bersama anak-anak di taman permainan yang terdapat di situ dan bermandi-manda di laut.

Malah lebih mengujakan, ada juga yang membina khemah sendiri untuk berlindung daripada sinaran mentari bagi menikmati pertandingan perahu naga sambil bermesra bersama keluarga.
Suasana di Teluk Likas, lokasi pertandingan sudah seumpama satu penganjuran pesta air dan bukan lagi satu pertandingan perahu naga semata-mata.

Celoteh pengacara majlis yang santai dengan jenaka dan maklumat terkini keputusan pertandingan menceriakan lagi suasana di tapak pertandingan, biarpun terik dipanah mentari.
Selain itu, keletah orang ramai yang memberi sokongan kepada pasukan bertanding juga turut menghiburkan. Sebaik bermula perlumbaan untuk satu-satu kategori, orang ramai akan bangkit dari tempat duduk dan berlari ke tepi pantai untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing, selain ada yang mengambil gambar kenang-kenangan. 

Ia membuatkan pesisir pantai Teluk Likas dipenuhi manusia dari pelbagai peringkat umur dan bangsa, sekali gus membentuk satu kemeriahan yang sukar diperkatakan. Di satu lokasi yang lain, terdapat sekumpulan petugas dari Jabatan Pertahanan Awam memberi perkhidmatan perubatan kepada peserta perahu naga yang mengalami kekejangan otot dan masalah kesihatan.

Selain itu, persembahan pukulan gendang 24 musim oleh kanak-kanak dari sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina pada majlis pembukaan turut menambat hati rombongan kenamaan yang turut disertai oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Yee Moh Chai dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun.

Apa yang boleh penulis perkatakan, penganjuran tersebut sangat bertepatan kerana bukan sahaja dapat memperkenalkan Sabah sebagai destinasi pertandingan perahu naga di peringkat antarabangsa, tetapi dalam masa yang sama ia mampu merealisasikan gagasan 1Malaysia seperti diimpikan oleh Perdana Menteri.

sumber : Utusan Malaysia

7 comments:

kathy said...

baru lepas bercuti kat sabah 3 minggu lepas..best!

Kancil 8349 said...

Kathy : Sabah bahagian mana kamu pergi...kalau kamu pergi pantai barat je...rugi tak gi Zon Tenggara

inna_risna said...

selalu tgok kat sndkan perlumbaan perahu nie..best la bila sorok ramai2 masa tue..^^

Unknown said...

tak pernah tengok perlumbaan nieh huhu...

tenx follow MB.

Kancil 8349 said...

Miss inna : Lebih meriah lagi di Kota Kinabalu....tapi betul tu...seronok bila sorak beramai2

Minah Blur...cubalah datang ke Sabah...cari pengalaman...

Mawar Berduri said...

arghhh... ari tu nda smpat p tengok pertandingan tu.. padahal dekat sja.. uwaa..

Kancil 8349 said...

Mawar Berduri : ndak apa lain kali boleh datang lagi...sudah menjadi acara tahunan di Sabah nie...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...