Rakan Blogger

Friday, March 4, 2011

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat SK Batu Payong Tawau

 Gambar Hiasan
 
Hari ini Jumaat. SK Batu Payong menganjurkan program Maulidur Rasul Peringkat Sekolah. Semua warga sekolah bersiap sedia berkumpul di Masjid Batu Payong yang jaraknya 2 KM dari sekolah. Saya tiba awal di sekolah seperti biasa dan sempat bersarapan di kantin sebelum ke Masjid Kampung Batu Payong.

Tepat pada pukul 7 pagi, saya bersama rakan sekolah Cikgu Jumadil pergi ke Masjid Kampung Batu Payong. Setiba kami di sana, ramai sudah murid - murid menunggu. Ketika itu juga Cikgu Kamaruddin mengatur perbarisan mereka. Sayangnya saya tidak dapat mengambil gambar situasi pada hari ini disebabkan handset saya rosak. Ada satu perkara yang menarik perhatian saya semasa berada di perkarangan Masjid. Ada satu ayat yang di tulis di pondok menunggu bas dan ayat tu berbunyi :

"Mentang - mentanglah ustaz - ustaz dan guru - guru kamu cakap buang yang buruk ambil yang baik (kelakuan) kamu pergi ambil selipar baru dan tukarkan selipar buruk. Siapa yang salah?"

Lebih kurang macam tulah ayatnya. Aduh! bebudak kampung, lain dicakap lain dimaksudkan.

Pada pukul 7.30 pagi, perarakan bermula dari Masjid Kampung Batu Payong menuju ke SK Batu Payong. Cukup indah dan menarik. Murid - murid merasa gembira sambil berselawat ke atas Nabi Junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Perarakan ini melibatkan semua murid di SK Batu Payong tidak ketinggalan murid - murid pra sekolah. Mereka juga turut menjayakan program tersebut.
8.00 pagi, rombongan perarakan tiba di perkarangan sekolah. Sebelum majlis dimulakan, semua murid diminta bersarapan terlebih dahulu di kantin sebelum berkumpul di dewan serbaguna SK Batu Payong. Dalam masa setengah jam, acara dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Aizat. Seterusnya bacaan Tilawah Al - Quran oleh adik Raziq dari tahun 3. Selepas bacaan Tilawah Al- Quran, persembahan bercerita oleh adik Nurfitry dari tahun 6 yang membawa cerita mengenai Nabi Idris. Dalam program pagi ini juga, pihak sekolah ada menjemput penceramah luar untuk memberi ceramah mengenai Maulidur Rasul.

Acara program berakhir pada pukul 10 pagi. Semua murid dibenarkan balik dan begitu juga guru - guru SK Batu Payong. Bagi saya, inilah kali pertama saya mengikuti program seumpama sejak saya di sekolah menengah. Dah lama tidak mengikutinya. Alhamdulillah! diberikan peluang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...