Rakan Blogger

Showing posts with label Kisah Sekolah. Show all posts
Showing posts with label Kisah Sekolah. Show all posts

Monday, December 2, 2019

Cerita Di Sekolah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Selamat datang kepada semua rakan blogger dan pembaca setia ke blog Kancil 8349.

Hari ini Kancil ingin berkongsi beberapa cerita mengenai situasi yang telah dialami oleh beberapa orang rakan Kancil dalam menghadapi karenah ibu bapa di sekolah. Ini hanya sekadar perkongsian dan bukan menyalahkan pihak tertentu. Korang pandai berfikir sendirilah.

Situasi 1
Seorang ayah telah menelefon guru besar dan memaklumkan kepadanya bahawa seorang guru di sekolahnya telah memberi banyak kerja kepada anak ayah ini. Kerja rumah yang diberikan tersebut menyebabkan anaknya terlalu penat ketika berada di rumah sehingga malas untuk menjamah makanan. Akibat risau dia terus menelefon guru besar. Dia meminta agar guru - guru di sekolah tidak memberi tekanan kepada anaknya. Keesokan harinya, guru besar tersebut memanggil guru yang dimaksudkan. Alangkah terkejutnya guru tersebut. Rasa marah dan kecewa dengan tindakan ayah murid tersebut. Guru tersebut terus masuk ke dalam kelas. Dia bertanya murid di dalam kelas yang diajarnya adakah kerja rumah yang diberikan olehnya menyebabkan mereka merasa penat. Hanya sekadar 5 soalan sahaja.

Situasi 2
Seorang murid tahun 1 tidak mahu datang ke sekolah kerana selalu dipukul oleh sorang guru lelaki bernama Cikgu B. Ayah murid tersebut datang ke sekolah dan mencari guru yang dimaksudkan oleh anaknya. Ayah murid ini memandang wajah Cikgu B dengan rasa tidak berpuas hati. Kerana rasa tidak senang dengan pandangan seorang lelaki, Cikgu B berjumpa dengan lelaki tersebut dan bertanya jika ada perkara yang boleh dibantu. Ayah murid tersebut memaklumkan bahawa anaknya selalu dipukul oleh Cikgu B. Cikgu B terkejut dengan kenyataan tersebut. Beliau bertanya, anaknya berada di darjah berapa. Ayah murid tersebut memberitahu bahawa anaknya berada di tahun 1. Cikgu B lagi terkejut. Dia memaklumkan bahawa dia bukan guru tahun 1 dan murid yang dimaksudkan oleh lelaki tersebut bukan dikenali oleh Cikgu B. Bila masa dan kelas mana plak Cikgu B akan memukul anaknya.

Ini adalah beberapa kisah yang berlalu di dalam sekolah. Banyak lagi sebenarnya. Namun ini sahaja yang Kancil dapat kongsikan. Insya Allah di lain cerita kita akan kongsikan. 

Terima kasih kerana sudi singgah di blog Kancil 8349.

Thursday, July 11, 2019

Jawapan Daripada Wordless #72

Asslamaulaikum Dan Salam Perpaduan.

Selamat datang kepada semua rakan blogger dan pembaca setia yang sudi singgah ke blog Kancil 8349.


Ini adalah kawasan perumahan tempat Kancil tinggal sekarang. Sebelum ini Kancil tinggal di Batu 2 Jalan Apas Tawau. Keluasan kawasan ini sampai ke bukit hujung sana. Nama kawasan perumahan Kancil tinggal ialah Bandar Sri Indah Fasa 5. Bukit yang jauh di belakang sana (sebelah kanan) adalah Bukit Panchang, Tawau.

Luas bukan. Inilah kawasan perumahan yang paling besar di daerah Tawau. Memlilik lebih 5 fasa di sebelah utara. Manakala di sebelah selatan kawasan perindustrian iaitu terletaknya pusat membeli belah, terminal bas Tawau - Lahad Datu - Kundasang - Kota Kinabalu dan kedai - kedai runcit.

Kancil ambil gambar ini sewaktu berjalan - jalan sekitar kawasan perumahan pada waktu petang. Pada masa itu, kawasan ini belum lagi ditutup. Dan sekarang sudah pun berpagar. Tujuan supaya tiada orang luar memasuki kawasan perumahan memandangkan ia paling hampir dengan kawasan kampung di Ranggu.

Kancil mula mendiami kawasan ini sekitar tahun 2014. Kira orang terawal mendiami kawasan fasa 5 yang paling hujung antara 3 fasa sebelum ini. Hanya terdapat 4 fasa di sebelah utara iaitu Fasa 1 dan fasa 2 (dibina sekitar 2001),  fasa 3 (dibina sekitar 2010) dan fasa 5 (dibina sekitar 2013). Tiada fasa 4. Mengikut fahaman orang - orang Cina, nombor 4 membawa maksud yang tidak baik pada perniagaan mereka.

Terima kasih kerana sudi membaca dan singgah ke blog Kancil 8349.

Tuesday, July 9, 2019

Pengumpul Kereta Hotwheels

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan.

Selamat datang kepada semua rakan blogger dan pembaca setia yang sudi singgah ke blog Kancil 8349.


Sejak tahun 2013, Kancil sudah berminat mengumpul kereta Hotwheels. Pada masa itu, Kancil hanya berminat pada kereta yang sedap mata memandang. Beli yang menarik minat Kancil sahaja. Tapi sejak 2014, Kancil mula menyimpan dan memilik kereta Hotwheels yang pernah di atas jalan atau kini di atas jalan.

Rupa - rupanya nilai harga kereta hotwheel ini melambung tinggi jika kereta tersebut merupakan kereta lagenda seperti Datsun, Ford Mustang, Pick up dan sebagainya. Harganya mencecah sehingga berpuluh ringgit. Namun Kancil hanya sebagai pengumpul kereta hotwheels dan bukan penjual.

Sehingga kini, (2019) Kancil memiliki lebih 300 buah kereta hotwheels. Semuanya disimpan di almari yang khas untuk kereta - kereta kecil ini. Seperti di atas gambar, itu sebahagian kereta - kereta hotwheels Kancil simpan. Bukan sekadar Kancil seorang di Tawau mengumpul kereta hotwheels. Ada ramai di kalangan kami. Ada kenalan Kancil yang memiliki lebih 3000 buah kereta hotwheels. Memang penggemar kereta hotwheels. Kancil tidak ambil gambarnya semasa berkunjung ke rumah kenalan ini.

Di Tawau, ada satu pertandingan yang dibuat untuk peminat - peminat kereta hotwheels. Di buat pada hujung minggu di bandar Tawau. Bukan sekadar di Tawau malah bandar Lahad Datu dan Sandakan juga. Apa lagi kalau di ibu kota KK. Memang meriah jika berkumpul dengan peminat - peminat kereta kecil ini. Dalam acara ini, ada pertandingan drag dan hiasan (custom).

Kancil sekadar menonton dan tidak pernah mengikut mana - mana pertandingan. Tetapi Kancil pernah menganjur pertandingan di peringkat sekolah. Mendapat sambutan hangat di kalangan murid - murid. Tetapi pertandingan tersebut Kancil kenakan syarat. Antara syarat yang Kancil kenakan ialah peserta yang ingin menyertai pertandingan tidak memiliki masalah disiplin dan masalah kehadiran. 

Dengan ini, murid - murid dapat menjaga disiplin mereka di sekolah. Tambahan lagi, menarik minat untuk hadir ke sekolah dengan aktiviti sebegini. Untuk makluman, banyak lagi aktiviti Kancil laksanakan kerana Kancil merupakan SU Sukan. Okaylah Kancil ingin kongsikan beberapa gambar kereta hotwheels Kancil.


 Datsun 510  Dan DMC Doleron


Volkswagen Golf MK2 dan Kool Kombi

Terima kasih kerana sudi singgah ke blog Kancil 8349.




Monday, July 8, 2019

Sejarah Kancil Bermain Bola Sepak

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Selamat datang kepada semua rakan blogger dan pembaca setia yang sudi singgah ke blog Kancil 8349.


Sejak berpindah ke sekolah baharu (sejak 2016). Kancil sudah kembali aktif bermain bola sepak. Bermain di posisi penyerang. Semacam sekali sahaja Kancil dapat menjaring gol sejak 3 tahun lalu. Hahaha...Pernah juga bermain di sekolah lama tapi hanya sekali sahaja. Lepas itu sibuk dengan permainan badminton dan futsal. 

Kalau ikut sejarah Kancil bermain bola sepak. Kancil merupakan seorang kaki bangku sejak di sekolah rendah. Kira tidak pandai menendang atau menerima bola. Masa subjek Pendidikan Jasmani di sekolah rendah, Kancil lebih suka duduk atau bermain sendiri dengan kengkawan yang seangkatan dengan Kancil. Kekadang ikut dengan geng perempuan main getah.

Semasa di darjah enam, Kancil cuba ikut dengan rakan - rakan untuk bermain. Posisi yang pertama Kancil ambil ialah Penjaga Gol. Sejak dari itu, Kancil mengambil posisi tersebut sehingga ke tingkatan 3. Kalau tidak silap, Kancil pernah dilatih oleh bekas Penjaga Gol Negeri Sabah era 70 -an. Namanya muslimnya Riduan. Beliau sudah banyak melatih anak - muda menjadi penjaga gol. Dan Kancil salah seorangnya. Tapi sekadar dipinggiran sahaja.

Naik ke tingkatan 4, Kancil mengambil posisi pertahanan. Sebab masa itu ada kumpulan sendiri di padang. Dan ada penjaga gol yang terbaik. Hehehe. Kumpulan yang terdiri daripada rakan - rakan yang tinggal sekitar Padang Bandaran Lahad Datu. Setiap hari mesti bermain bola sepak. Pernah buat perlawanan persahabatan dengan kumpulan lain. Yang penting enjoy orang kata. Kalah atau menang lain cerita.

Sewaktu di tingkatan 5, arwah bapa mengajak bermain mengikut dengan pasukan tempat kerja arwah. Masa itu diberikan tugas sebagai penyerang sayap kiri. Itu merupakan kenangan pertama Kancil mengikuti perlawanan sebenar dengan orang dewasa. Walaupun kalah 7 - 0. Sejak itu, Kancil memikul tugas sebagai pemain sayap kiri. Semasa bermain di waktu petang, posisi ini juga yang Kancil ambil. Seronok dapat menghantar bola kepada penyerang. 

Masa itu, arwah Oboy (adik lelaki Kancil) merupakan penyerang tengah. Kancil pasti akan menghantar bola tepat ke arahnya. Dan arwah pasti menjaring gol. Pelbagai nama Kancil diberikan oleh rakan atau lawan. Antara nama yang diberikan oleh Kancil ialah Kilat, Turbo dan Kayu (sebab keras)

Naik ke tingkatan 6, Kancil mengambil balik posisi Penjaga Gol kembali. Menjadi penjaga gawang untuk pasukan kelas sendiri. Sebanyak 5 perlawanan, hanya 3 kali dibolosi oleh pihak lawan. Dan semua perlawanan dimenangi oleh pasukan Kancil. Naik ke Universiti, Kancil kurang bermain bola sepak. Ada pun hanya sekali dalam tempoh 4 tahun di UiTM Shah Alam.

Bila Kancil mula berkerja di KYS (Kolej Yayasan Sabah), Kancil diberi peluang untuk bermain di bahagian tengah. Masa itu, Kancil dilatih dan diajar oleh Harun Laban dan Mokhtar Dayoh (dua - dua bekas pemain negeri Sabah). Satu pengalaman berharga bagi Kancil. Bermain bersama pemain profresional. Kita plak hanya pemain kampungan. Hehehe

Bila bertukar kerja menjadi guru. Di sekolah ini baru Kancil menyertai bola sepak sepenuhnya. Mengambil posisi sebagai penyerang tengah. Lebih pada sebagai pengacau atau pembayang kepada penyerang lain. Itulah tugas Kancil. Namun jarang menjaring gol. Seperti penyerang tiada bisanya. Mungkin Kancil sudah hilang taringnya. Namun Kancil tidak berputus asa. Kancil ingin kembali seperti dahulu. Insya Allah...doakan Kancil.

Terima kasih kerana sudi singgah ke blog Kancil 8349.

Saturday, July 6, 2019

Ibu Bapa Cermin Anak - Anak

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan.

Selamat datang kepada semua rakan blogger dan pembaca setia yang sudi singgah ke blog Kancil 8349.

Anak - anak adalah tanggungjawab ibu bapa. Mendidik anak bermula dari rumah. Bukan sekadar pendidikan tetapi adab bersama orang lain. Dewasa kini, ramai ibu bapa terdesak dengan kehidupan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak - anak mereka. Mereka beranggapan dengan menyediakan peralatan sekolah, pakaian dan makanan sudah cukup memadai sebagai tanggungjawab mereka.

Padahal jika diteliti dengan betul, tanggungjawab ibu bapa cukup luas skopnya. Memastikan anak - anak mereka bersedia dengan dunia sebenar. Dunia yang penuh panacaroba. Bermula dari rumah. Mengajar erti kasih sayang antara ahli keluarga, tanggungjawab bersama ahli keluarga dan adab bersama ahli keluarga. Tapi adakah ini diterapkan dalam sistem kekeluargaan bagi sesuatu keluarga?

Tengok sahaja di sekolah. Anak - anak kecil (tahap 1) sudah pandai membuang sampah merata - rata tempat. Ini kerana ibu bapa tidak mendidik anak dari rumah mengenai tanggungjawab kebersihan malah anak - anak ini mengikut contoh daripada ahli keluarga mereka.Jika sudah dididik mengenai kebersihan. Maka cerialah sesebuah sekolah. Namun semua bermula dari sekolah. Bukan dari rumah pada masa kini. 

Anak - anak ada fikiran. Mereka berfikir mengikut keadaan dan situasi. Mengenai kebersihan. Anak - anak ini akan berfikir, jika ibu bapa saya tidak menegur saya. Apa lagi guru di sekolah tiada hak untuk menegur saya. Sebab itu, ibu bapa perlu mendidik dan memandu anak - anak mereka ke arah kebaikan dan bukan guru sepenuhnya.

Semasa penyampaian buku rekod baru - baru ini. Rata - rata ibu bapa menyerahkan bulat - bulat tanggungjawab pendidikan kepada guru. Sedangkan masa mereka dengan anak mereka lebih 18 jam di rumah setiap hari dan pada hujung minggu. Antara ayat yang keluar dari mulut mereka;

"Pukul sahaja cikgu jika dia tidak buat kerja"

"Memang dia suka bermain. Tidak mahu belajar."

"Memang dia nie. Malas belajar."

Jika inilah berlaku, maka makin sukar untuk mendidik anak - anak pada masa kini. Harus ingat, anak - anak akan beranggapan jika ibu bapa tidak boleh menegur mereka apa lagi guru yang sekadar beberapa jam di sekolah. 

Wahai ibu bapa di luar sana. Kalian menghantar anak anda ke sekolah untuk belajar namun pantaulah mereka juga di rumah. Lihatlah mereka di rumah. Berilah sedikit masa untuk bersama dengan membantu membuat kerja sekolah. Terpulang kepada kalian untuk membahagikan masa. Bukan serahkan bulat - bulat kepada sekolah. Didiklah mereka dengan tanggungjawab dan adab. Jika murid - murid ini malas belajar bermakna kalian pun malas untuk mengajar.

Terima kasih kerana sudi singgah ke blog Kancil 8349.

Thursday, July 4, 2019

Jawapan Daripada Wordless Wednesday #71

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan.

Selamat datang kepada semua rakan blogger dan pembaca setia yang sudi singgah ke blog Kancil 8349.


Gambar di atas merupakan gambar Kancil sedang memancing ikan di Sungai Tagasan Semporna. Sejak berpindah ke sekolah baharu, pelbagai aktiviti luar Kancil sertai. Salah satu aktiviti memancing. Pernah mantan GB SK St Patrick berpesan kepada Kancil, jangan terikut - ikut dengan guru - guru kaki pancing di sekolah baharu. Tapi susah juga kalau menolak jika itu adalah satu aktiviti yang menyeronokkan.

Disebabkan pelbagai aktiviti inilah Kancil telah menyepi di dunia blog. Tapi kerana aktif kembali di dunia blog. Aktiviti luar Kancil tetap lakukan dan sudah pun mengatur masa yang sesuai. Insya Allah kancil akan ceritakan hasil tangkapan yang pernah Kancil dapat bersama rakan dan keluarga.

Terima kasih kerana sudi singgah dan membaca blog Kancil 

Tuesday, July 2, 2019

Fenomena PUBG Masa Kini

Assalamualaikum Dan Salam Perpaduan.



Permainan video yang paling gempak dan merupakan permainan yang paling kerap dimainkan. Malah kita boleh lihat di mana - mana kedai makan atau pusat - pusat membeli belah. Terdapat golongan yang tekun menghadap telefon mereka masing - masing. Dengan bunyi tembakan yang memecah suara di dalam kawasan tersebut. Ia merupakan satu trend, bukan sekadar orang dewasa malah kanak - kanak juga bermain permainan ini.

Kancil pun tidak terlepas untuk mengikut permainan ini. Bermula ajakan seorang rakan di sekolah. Kancil mula mengikut. Pada mulanya memang janggal kerana kurang mahir menggunakan telefon. Bukan apa sebelum ini mahir dalam permainan Counter Striker. Malah digelar Ace di kalangan rakan - rakan. Bila bermain PUBG ini seperti kanak - kanak yang baru mengenal berjalan.

Kancil bermain hanya pada waktu lapang. Bukan bermain semasa mengajar. Itu sudah melanggar etika tempat kerja. Malah akan memburukkan nama Kancil pula. Hehehe! Kini sudah berada di musim ketujuh. Ranking Kancil pun sudah berada di ACE. Tidak boleh bergerak jauh dari itu sejak musim kelima. Mungkin itu sahaja keupayaan Kancil. Lagipun Kancil bermain pada waktu petang atau sebelum pergi ke tempat kerja. Adakalanya bermain di tempat kerja. Tapi itu pun jika tiada kelas.

Apa yang menarik mengenai permainan ini. Ia kelangsungan hidup berada di dalam permainan tersebut. Namun ada juga pemain yang gila atau fanatik mencari musuh sehingga berada di kawasan yang panas (ramai pemain). Kalau Kancil pula, suka berada di kawasan yang kurang pemain. Mencari dan mengumpul peralatan sebelum bertempur. Pernah digelar sebagai NOOB oleh pemain lain. Kancil tidak kisah yang penting apa matlamat permainan ini. Kelangsungan bermain di akhir masa.

Rakan tidak ramai, dalam 60 orang sahaja. Itu pun dari pelbagai negara. Apa yang menyakiti hati semasa bermain permainan ini ialah bila dibunuh oleh rakan sepasukan semata - mata ingin mengambil peralatan kita. Memang geram tahap mahu menumbuk orang. Hahaha... tapi tidak semua. Bila kena buat begitu. Kita buat laporan (report) dekat admin PUBG. Pandai - pandailah admin tu denda mereka.

Apa yang merisaukan tentang permainan ini ialah masa kita. Jika terlalu bermain, kita kehilangan masa bersama keluarga, rakan dan kehidupan kita. Sebab itu Kancil sudah tetapkan bila akan bermain permainan ini. Bermain hanya tiga atau empat kali sehari. Sebagai pendidik. Kancil perlu bahagikan masa supaya tidak terlepas semua perkara. Lebih - lebih lagi Kancil kembali ke dunia blog. 

Apapun terima kasih kepada pembaca yang sudi singgah ke blog Kancil. 


Hari Penyerahan Buku Rekod Kemajuan Murid

Assalamualaikum dan salam perpaduan.

Acapkali selesai setiap peperiksaan, ramai ibu bapa akan menanti keputusan anak mereka. Menanti hari untuk hadir ke sekolah berjumpa dengan guru kelas anak mereka. Tidak kurang juga ada ibu bapa malas untuk hadir kerana sudah mengetahui keputusan anak mereka di SAPS (Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah).

Apa yang ingin Kancil ceritakan di dalam blog ini adalah mengenai gelagat ibu bapa bila bertemu dengan guru kelas. Kancil bukan guru kelas tetapi dilantik sebagai pembantu guru kelas. Kalau ikutkan Kancil tidak perlu berada di dalam kelas tetapi memandangkan masa Kancil lebih 7 jam seminggu berada di dalam kelas ini. Jadi adalah baiknya Kancil mengetahui serba sedikit ibu bapa murid - murid di bawah ajaran Kancil.

Bukan tujuan untuk mengaibkan mereka tetapi sebagai pengajaran dan panduan agar para pembaca dapat mengetahui apa itu tanggungjawab sebagai ibu bapa. Kisah mereka biarlah mereka yang tanggung. Itu dosa mereka dan bukan hak kita menghukumnya namun ambil sebagai pengajaran supaya kita tidak seperti mereka.

Rata - rata ibu bapa terkejut dengan keputusan anak mereka. Rata - rata mereka lebih menyalahkan anak mereka bermain di rumah berbanding mengulangkaji pelajaran. Apa yang lebih mengejutkan ada ibu bapa percaya bulat - bulat dengan kata - kata anak mereka. Bila ibu bapa bertanya mengenai kerja rumah. Anak mereka lantas menjawab sudah siap. Tanpa melihat hasil kerja anak mereka. Tanpa memantau kerja yang diberikan oleh guru.

Kancil menyimpan rekod murid yang tidak menyiapkan kerja rumah. Adalah seorang ibu mempertikaikan tindakan Kancil. Menafikan anaknya bersalah. Kalau boleh disokong penuh bahawa anaknya tidak bersalah. Mungkin Kancil terlepas pandang. Bila Kancil bertanya adakah beliau melihat hasil kerja anaknya. Ibu ini terdiam. Berfikir panjang.

Bagi Kancil, tanggungjawab seorang ibu bapa amat berat. Merekalah yang memantau anak mereka di rumah. Memastikan mereka belajar dan mengulangkaji. Jika mereka dihidang dengan teknologi terkini. Malah mempercayai mereka sepenuhnya. Itu satu kesilapan. Banyak mana guru mengajar jika ibu bapa tidak membantu. Murid akan ketinggalan jauh. Maka akan berlaku murid lebih suka dengan dunia sendiri (mengelamun di dalam kelas walaupun guru mengajar), lebih banyak bercerita berbanding membuat kerja dan macam - macam lain.

Beza penyampaian bantuan 100 ringgit. Ramai ibu bapa hadir memenuhi dewan. Menanti menerima duit kerajaan. Walhal berkereta besar, hidup di rumah batu siap berhawa dingin. Ibu bapa jenis ini tidak malu. Berpura - pura miskin. Menyerang sekolah jika tidak menerima bantuan malah kebanyakan jenis ibu bapa ini adalah suka memburuk - burukkan guru. Lupa mereka bahawa anak mereka diajar di sekolah. Itu yang melucukan. Akibatnya prestasi anak lemah. Bukan apa kerana hasil yang tidak diredhai.

Itulah sahaja coretan Kancil pada hari ini. Kancil mengetahui ada juga pembaca setia Kancil. Tidak kisahlah kini atau masa depan bagi Kancil ia amat menghargai. Terima kasih kerana sudi membaca blog Kancil.

Thursday, June 20, 2019

Majlis Perpisahan

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Beberapa hari yang lalu, sekolah menerima berita mengenai perpindahan beberapa orang guru. Perpindahan ini telah lama dipinta. Dan perasaan guru - guru ini teruja berbaur sedih. Mana tidaknya, mereka telah berkhidmat di sekolah ini lebih 10 tahun. Satu pengalaman yang sukar dicari ganti.

Teringat kisah Kancil berpindah dari sekolah lama ke sekolah yang kini. Rasa teruja kerana dapat menimba pengalaman baharu dan rasa sedih kerana baru 5 tahun berkhidmat di sekolah tersebut. Lagi satu, perjalanan Kancil dipendekkan kepada beberapa minit berbanding di sekolah lama yang hampir setengah jam untuk sampai ke destinasi. Belum pada waktu kemenuncak.

Biasalah, jika ada guru berpindah maka sibuklah beberapa orang guru yang mengatur majlis perpisahan mereka. Majlis dibuat bagi mengenang jasa mereka. Lebih - lebih lagi lama berkhidmat di sekolah ini. Jangan pula tidak dibuat seperti tidak menghargai jasa guru tersebut. Hehehe... harap - harap tiada sekolah yang berbuat demikian. 


Thursday, June 13, 2019

Program Transformasi Sekolah (TS25)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sebagai warga pendidik, kita akur dengan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan. Mahu tidak mahu tetap hadapi dan laksanakan dengan hati yang terbuka. Walaupun kekadang terfikir, terlalu banyak dasar boleh mengakibatkan dunia pendidikan kelam kabut. Tapi, para pemikir di peringkat KPM telah mengetahui mengapa perlu dilaksanakan. Ia mengambil masa yang lama untuk kita hadam sepenuhnya.

Hari ini, Kancil ingin bercerita mengenai Program Transformasi Sekolah (TS25). Sekolah tempat Kancil bertugas telah terpilih antara lima sekolah di daerah Tawau. Pelbagai persediaan telah dibuat bagi menjayakan program ini. Bak kata orang, tidak senang duduk sehingga selesai program besar ini.

Apa dia TS25? Program TS25 merupakan sebahagian daripada usaha KPM ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan menjadikan sekolah yang berkualiti. Ini bertujuan untuk mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan pengajaran selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025.

TS25 mewujudkan modal insan unggul dalam dunia pendidikan. Yang mana mewujudkan persektiaran pembelajaran yang menyeronokkan dan disokong oleh kepimpinan yang berkualiti dan berwawasan. Selain itu, melahirkan guru yang berkompeten dan beraspirasi tinggi dalam menjalankan tugas yang diberikan dan dibantu oleh komitmen komuniti yang padu.

Maka bermulalah, perjalanan kami di peringkat sekolah untuk melaksanakan program ini. Melaksanakan pelbagai aktiviti yang berpaksikan kepada pembelajaran abad -21. Setiap panitia dan persatuan bekerja keras untuk menjayakan aktiviti - aktiviti yang dirancang. Seperti hari ini, menjemput ibu bapa untuk hadir ke sekolah dan bersama - sama mendidik dan membantu anak - anak murid di sekolah. Aktiviti pembelajaran i Think diperkenalkan di setiap kelas.

Ibu bapa yang hadir, tidak rasa kekok untuk memberi bantuan dalam mendidik anak - anak murid lain. Walaupun pada dasarnya mereka tiada pengalaman. Namun mereka berjaya menjadi sebahagian dalam proses PDP. Seterusnya, mereka melihat anak - anak murid membentang di hadapan mereka. Pelbagai gelagat dan gaya dipertontonkan oleh anak - anak murid ini. Dan ini mencuit hati ibu bapa yang melihat mereka. Inilah satu pengalaman berharga kepada semua ibu bapa yang hadir.

Bagi Kancil, penglibatan ibu bapa dapat mengeratkan lagi hubungan guru dan ibu bapa di sekolah. Selain itu, ibu bapa mengetahui pdp yang dilaksanakan oleh guru di sekolah. 

Saturday, March 25, 2017

Cuti Sekolah Tapi Cikgu Tidak Cuti

Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia

Namanya cuti, sepatutnya kami bercuti. Tapi bohonglah kalau kami tidak katakan bahawa kami tidak bekerja. Kerja yang diberikan oleh pihak atasan. Mahu siapkan itu ini. Sedangkan murid - murid lain sudah pun bercuti ke destinasi pelancongan yang mereka rancang awal - awal. Namun tidak ramai yang terfikir bahawa anak - anak guru yang terpaksa berkorban demi kerjaya ibu bapa mereka yang bergelar guru.

Namun sudah menjadi kebiasaan anak - anak guru memahami kerjaya ibu bapa mereka. Malah mereka sanggup membantu ibu bapa mereka dengan membantu key in markah, semak kerja atau sebagainya. Mengapa mereka ingin membantu? Jika kerja ibu bapa mereka siap awal...bolehlah mereka bercuti bersama. 

Umum nampak cuti sekolah maka guru - guru pun bercuti. Sedangkan guru perlu mengejar SAPS dengan menyemak ujian murid pada minggu terakhir pelajaran. Sudahlah semak ujian, markah perlu dimasukkan ke dalam SAPS. Jika lewat maka, teguran akan berlaku. Semuanya perlu cepat tanpa mengetahui keadaan sang guru. 

Belum lagi kerja yang diberikan oleh guru perlu disemak dan diserahkan pada awal persekolahan. Ini memakan masa juga untuk menyemak. Buka sekolah, kerja yang diberikan sebelum cuti pun perlu disemak. Mana ada masa untuk berehat. Memikirkan strategi untuk mengajar murid - murid yang lemah dalam pelajaran. Ia menjadi keutamaan kepada guru.

Apapun, hargai dan hormati kami sebagai guru. Kerjaya kami adalah kerja sepanjang masa. 

Monday, March 6, 2017

Mesyuarat PIBG

Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia.

Mana - mana sekolah pun mempunyai Persatuan Ibu Bapa Dan Guru iaitu PIBG. Acapkali ia sebagai medium untuk berbincang dan menyuarakan pandangan mengenai keadaan sekolah dan keadaan anak - anak murid. Di sinilah tempat ibu bapa bersua muka dengan guru - guru untuk membincangkan permasalahan anak - anak mereka di dalam pembelajaran.

Namun, tidak semua sekolah mempunyai masalah yang sama. Mungkin ada sekolah yang mana ibu bapanya perhatin dengan anak - anak mereka dengan menghadirkan diri dalam mesyuarat PIBG. Dan ada juga yang ibu bapanya tidak dapat hadir kerana kekangan masa. Apapun alasan, mesyuarat ini sebagai tempat ibu bapa dan guru duduk berbincang untuk sama - sama membantu murid - murid sekolah.

Apa yang dikesali oleh Kancil, bila ada mesyuarat sebegini. Ada di kalangan ibu bapa tidak hadir. Memberi seribu alasan untuk ini. Kita faham dan kita tahu namun bila keputusan mesyuarat telah diputuskan. Mulalah bising kerana isu itu ini tidak dibawa ke pengetahuan ibu bapa yang lain sedangkan sudah dibincangkan di mesyuarat PIBG.

Lupakah mereka bahawa, ada di kalangan ibu bapa lain telah bersetuju sebulat suara menyokong dasar atau peraturan yang telah dibuat untuk sekolah. Lupakah mereka bahawa bila dipanggil hadir, memberi pelbagai alasan. Dan lupakah mereka bahawa di sekolah ini bukan anak mereka sahaja yang perlu dididik, diajar, diasah dan dijaga oleh guru. Semuanya ini kerana mereka ada hak untuk bersuara. Walhal diminta hadir memberi seribu alasan.

Ada pula yang hadir, mencari kesalahan dan kelemahan guru di sekolah. Siap memberi fakta untuk memalukan guru. Siap bawa buku undang - undang ke sekolah. Kalau boleh, diserang guru sehabis mungkin. Kalau boleh, guru tunduk dengan kemahuannya. Tapi tidak semua sekolah kena situasi sebegini. Ada tapi tidak banyak. Kerana apa, masih ada ibu bapa sedar bahawa guru amat penting untuk anak - anak mereka.

Masih ada ibu bapa menghormati guru. Menyerahkan guru mendidik anak mereka sepenuhnya. Apa juga tindakan guru dianggap oleh mereka bersebab. Selagi nyawa anak mereka di badan selagi itu mereka merasa guru tidak bersalah. Dan macam - macam lagi mengenai ibu bapa yang selesa dengan guru mendidik anak mereka. Ini faktor menyebabkan ada guru masih bersemangat untuk mendidik dan mengajar.

Sekian terima kasih...

Saturday, March 4, 2017

Harapan Baru

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia.

Semasa di sekolah lama, Kancil tidak terlepas membawa murid - murid Kancil ke peringkat daerah. Kejayaan mereka di peringkat zon diuji lagi di peringkat daerah. Selama 3 tahun memegang jawatan SU Sukan, selama itu juga Kancil berjaya membawa mereka ke peringkat daerah. Paling jauh pun, membawa murid ke peringkat negeri. Tapi orang lain yang pergi. 

Memandangkan Kancil berpindah ke sekolah baharu. Bermakna Kancil telah berpindah ke zon baharu. Sebelum ini, zon Bandar dan kini Kancil berada di zon  Apas. Mempunyai 13 buah sekolah di dalamnya. Tahun lalu, Kancil orang baharu di sekolah. So, belum diberikan peluang untuk menyertai pasukan olahraga. Namun, Kancil tetap membantu pasukan olahraga.

Tahun lalu, rezeki sekolah Kancil tidak seberapa. Berada di ranking terakhir dengan pungutan pingat 2 gangsa. Bermakna tiada murid yang berjaya ke peringkat daerah. Tahun ini, Kancil diberikan peluang untuk membawa pasukan olahraga. Latihan telah dibuat. Strategi sudah disusun. Syukur ada peningkatan dari tahun lalu, mendapat 1 pingat perak dan 1 pingat gangsa. Berada dalam ranking ketujuh dari 13 buah sekolah.

So Kancil membawa seorang murid ke peringkat daerah. Di peringkat ini, saingan amat kuat. Keputusan sudah diketahui namun tetap menyertai pertandingan tersebut. Bagi pengalaman kepada Kancil di zon baharu. Jumpa guru guru baharu. Zon Apas berada di kedudukan nombor 3 dari 6 zon dengan pungutan pingat 2 emas dan 2 perak. Sebelum ini, PT zon Apas pernah meluahkan perasaan bahawa zon Apas tidak pernah mewakili daerah ke peringkat seterusnya. Peringkat seterusnya ialah peringkat Tenggara. Tahun ini, 4 orang murid dapat hak perwakilan untuk mewakili daerah ke Tenggara.

Kita doakan kejayaan mereka di peringkat seterusnya. Namun misi Kancil bukan berhenti di sini. Tahun ini, Kancil tetap meneruskan latihan untuk persediaan tahun hadapan. Walaupun sukan sekolah belum bermula. 

Terima kasih kerana sudi membaca..


Wednesday, February 22, 2017

Berada di Tempat Yang Ketujuh

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia.

Minggu lalu, sekolah Kancil menyertai Kejohanan Balapan dan Padang peringkat Zon Apas 2017. Terdapat 13 buah sekolah bertanding di zon ini. Seperti sekolah lama Kancil, persediaan telah dibuat dengan latihan berterusan kepada semua atlet sekolah. Namun dengan keadaan fizikal murid Kancil yang kecil tidak dapat mampu mengalahkan pasukan dari sekolah lain.

Tambahan lagi, murid kampung tidak sama dengan murid bandar. Semangat mereka pun amat berbeza. Kebanyakan murid Kancil latih tidak bersungguh - sungguh malah ada yang melanggar arahan semasa melatih. Namun sepanjang kejohanan, terpapar wajah sedih mereka bahawa apa yang mereka buat tidak membuahkan hasil. Mereka beranggapan bahawa mereka jaguh. Realitinya mereka kalah di peringkat zon. 

Bagi Kancil ia sebagai pengajaran kepada mereka bahawa dunia mereka bukan di sekolah. Sekolah Kancil mendapat tempat ketujuh daripada 13 buah sekolah bertanding dengan pungutan pingat satu perak dan satu gangsa. Insya Allah akan diusahakan lagi untuk mendapatkan emas pada tahun hadapan.

Sekian dan terima kasih.

Monday, February 13, 2017

Minggu Latihan Sukan dan Mesyuarat Sana Situ

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia.

Awal tahun sebegini, ramai guru yang sibuk dengan aktiviti yang telah dirancang oleh KPM, JPN dan PPD. Belum lagi aktiviti dan program yang telah diatur oleh pihak sekolah. Namun, kesibukan sebegini adalah kemeriahan di sesebuah sekolah.

Bila sesebuah sekolah aktif dengan pelbagai program, ibu bapa mula merasakan sekolah tersebut sesuai untuk anak - anak mereka. Inilah yang berlaku pada tempat sekolah Kancil mengajar. Jauh jarak tetap dihantar anak mereka ke sini. 

Kancil tidak terlepas dengan kesibukan di awal tahun. Bukan seperti tahun lalu, Kancil orang baharu. Perlu mengetahui keadaan dan iklim sesebuah sekolah. Alhamdulillah, pentadbir mempercayai Kancil untuk menggalas tanggungjawab berat di sekolah.

Kerana sibuklah, blog nie terpinggir sementara. Sibuk melatih murid, ditambah plak terpaksa menghadiri mesyuarat di peringkat PPD. Tahun ini, Kancil menggalas tanggungjawab sebagai SU Sukan di sekolah. Daripada posting hinggalah sekarang, jawatan tersebut kekal dan berpencen dengan Kancil. Tapi tidak mengapa, yang penting Kancil gembira dapat melakukannya.

Hari Rabu ini, sekolah kami akan menyertai kejohanan sukan peringkat zon. Kancil berharap akan membawa nama sekolah di peringkat seterusnya sepertimana sekolah lama Kancil dahulu. Doakan Kancil berjaya.

Terima kasih kerana sudi membaca dan singgah ke blog Kancil

Tuesday, January 31, 2017

Guru Sidang Pagi Versus Guru Sidang Petang

Assalamulaikum dan salam satu Malaysia.

Tajuk ini bukan menggambarkan keadaan guru dua sidang di sesuatu sekolah. Ia menceritakan mengenai keselesaan berada di dua sidang. Kelebihan dan kekurangan berada di dua sidang. Sabah merupakan negeri yang paling banyak sekolah mempunyai dua sidang. Lebih-lebih lagi daerah Tawau yang memiliki lebih 50 buah sekolah rendah. 

Sidang pagi
Kancil lebih suka berada di sidang ini kerana banyak perkara dan aktiviti yang boleh dilakukan. Awal pagi bangun. Pergi kerja tidak terperangkap dengan kesesakan lalu lintas. Cuaca masih sejuk. Yang paling best, selesai sekolah boleh semak kerja murid, melatih aktiviti sukan dan sebagainya. Kelemahan berada di sidang ini, mudah dipantau oleh pemantau atau pelawat. Banyak aktiviti berlaku pada waktu pagi dan kadangkala sesi kelas dibatalkan. 

Sidang petang
Kancil pernah berada di sidang petang. Boleh sambung tidur selepas solat subuh. Boleh buat persediaan Pdp sebelum sekolah bermula. Tapi selalu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Masa ini cuaca panas. Masuk kelas belum cerita lagi. Aktiviti melatih sukan hanya boleh dibuat pada hari Sabtu. Lepas sekolah, mesti penat sangat. Kekadang lupa semak kerja murid. Hehehe...

Ini sekadar pandangan peribadi Kancil sahaja. Banyak lagi cuma tidak mahu cerita panjang. Ikut kesesuaian guru yang mana selesa. Bagi Kancil, rela di sidang pagi. Kerana boleh buat banyak aktiviti sebelah petang. Jika ada yang kurang setuju dengan kenyataan Kancil. Itu hak korang.

Sekian dan terima kasih.

Monday, January 30, 2017

Tahun Baharu Dunia Baharu

Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia.

Tenggelam timbul blog Kancil nie. Macam bersarang lama tidak aktif di dalam dunia maya. Tahun ini Kancil berusaha untuk aktif semula. Semoga niat Kancil tercapai. Tahun lalu pun begitu tetapi ada sahaja halangan.

Halangan masa dan tenaga. Insya Allah Kancil akan memperbaikinya. Sekarang sudah masuk bulan dua baru plak aktif. Bukan apa, Kancil sudah berpindah dari sekolah baharu dan masih sedikit samar dengan dunia nyata. Hehehe...lambat betul mahu mengadaptasi diri. Sebenarnya banyak perkara perlu dibuat.

Serba sedikit kejadian tahun lalu yang Kancil lalui. Ingin dikongsi bersama rakan - rakan di dunia nyata.

Cerita 1 : Anak Tidak Sihat
Tahun lalu, tahun paling perit Kancil sekeluarga lalui. Tahun yang menduga dalam kehidupan kami sekeluarga. Anak nombor dua Kancil dapat penyakit sawan. Pelbagai usaha telah kami cari. Tenaga dan wang rezeki jangan ceritalah. Memang sedih kami sekeluarga. Alhamdulillah, bulan 7 tahun lalu anak Kancil pulih sedia kala. Namum perlu rawatan susulan. 

Cerita 2 : Filem Pendek "Kami"
Pada bulan 8 tahun lalu, Kancil sukarela membantu seorang rakan guru untuk membuat filem pendek. Kira setiap tahun sekolah ini akan membuat filem pendek. So, Kancil ingin terlibat sama dalam pemikinan filem pendek ini. Kancil sebelum ini biasa dengan drama pentas dan ini peluang terbaik untuk menceburi bidang dalam pemikinan filem pendek. Kancil membuat skrip dan jalan cerita filem tersebut. Peluang yang terbaik Kancil dapat. Sasaran filem ini adalah menyertai Festival Filem Pendek Peringkat Kebangsaan. Namun bukan rezeki kami untuk ke sana. Hanya mampu berjaya di peringkat daerah Tawau saja. Namun Kancil bersyukur kerana ini percubaan pertama kancil dalam pemikinan filem pendek berjaya di Tawau. Insya Allah tahun ini akan memperbaiki kekurangan yang terdapat dalam filem pendek. 

Cerita 3 : Pasukan Tarian Igal - Igal
Kancil bersama seorang guru perempuan diberikan kepercayaan oleh guru besar untuk membentuk satu pasukan tarian igal - igal peringkat sekolah. Pasukan ini diwujudkan bagi tujuan sebagai penari persembahan kepada pelawat - pelawat sekolah yand datang mengunjungi sekolah Kancil sekarang. Persembahan pertama kami apabila membuat persembahan di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Daerah Tawau.


Kami membawa dua persembahan tarian iaitu Tarian Zapin dan Tarian Igal - Igal. 

Setakat ini sahaja perkongsian Kancil. Insya Allah Kancil akan kongsikan banyak cerita. Terima kasih kerana sudi singgah ke blog Kancil. 

Saturday, March 14, 2015

Cuba untuk kembali

Assalamualaikum....Salam satu Malaysia...

Agak lama Kancil menyepi, kira berdebu dan bersarang sudah ini blog. Entah ke mana semua pembaca setia Kancil...Minta maafkan bebanyak kepada semua rakan. Insyaallah kancil cuba kongsikan seberapa ilmu dan pengalaman kepada semua rakan...semoga Kancil kembali aktif seperti dahulu.

Tahun ini, kancil bersama rakan guru baharu telah mencipta sejarah baharu dalam acara olahraga. Kami berjaya mendapat johan keseluruhan. Kejayaan ini berulang seperti tahun 2013. Alhamdulillah, ini semua kerjasama guru guru dan ibu bapa di sekolah. Mereka menyokong sepenuhnya kepada kami dan anak anak didik kami.

Bulan ini, kami berdua diberi kepercayaan untuk membawa dan melatih pasukan bola tampar ke peringkat lebih tinggi. Walaupun murid murid tidak pernah berlatih tapi kami yakin boleh melakukannya. 

Itu je yang boleh kancil kongsikan...doakan kejayaan kancil.

Tuesday, February 18, 2014

Kem Sukan Sekolah 1 Murid 1 Sukan 2013

Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia.

Pada tahun lalu, SK St Patrick Tawau telah menganjurkan Kem Sukan Sekolah 1 Murid 1 Sukan. Entri sepatutnya dibuat pada tahun lalu tetapi kesibukan tahun lalu tidak dapat dielakkan. Tujuan sebenar Kem ini untuk mendedahkan murid kepada aktiviti sukan dan permainan dan juga salah satu dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang rancak diperkenalkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Oleh yang demikian, penganjuran kem ini amat dialu - alukan sesuai dengan kehendak dan tujuan program.

Memandangkan sekolah kami merupakan gred A dan amat menitik beratkan PdP. Kem ini dianjurkan selama 2 hari dan dilaksanakan di sebelah petang sahaja. Seramai 30 orang murid dan 3 orang guru penasihat yang terlibat dalam menjayakan program ini. Alhamdulillah, program ini berjalan dengan baik walaupun bilangan sasaran tidak mencapai. Namun objektif kem nie berjaya dan telah tercapai. Jom kita lihat beberapa keping gambar yang sempat Kancil ambil semasa kem tersebut.


Penyelaras Ustaz Rusli memberi taklimat dan para peserta yang telibat
 

Para peserta mendengar taklimat dan aktiviti di luar kelas

 

Para peserta gembira melaksanakan LDK luar kelas

Terima kasih kepada semua rakan blogger yang sudi singgah dan tinggalkan komen di blog Kancil 8349.


Wednesday, January 29, 2014

Lasabela : Radio Malaysia Tawau (RMT)

Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia.

Selamat datang kepada semua rakan blogger dan pembaca setia yang sudi singgah ke blog Kancil 8349.

Maaflah banyak - banyak kepada semua rakan blogger kerana Kancil kejap muncul kejap hilang. Ini kerana banyak perkara yang perlu Kancil utamakan. Namun, memang resah bila blog senyap tanpa maklumat tanpa pembaca. Apapun, Kancil berusaha untuk mencuri masa yang sesuai jika kerja - kerja tidak menghimpit masa Kancil. 

Minggu lalu sahaja, Kancil telah membawa murid ke pertandingan Catur peringkat daerah Tawau yang berlangsung 3 hari berturut - turut. Kelmarin, Kancil terlibat pula dalam Kejohanan Padang dan Balapan Zon Bandar. Alhamdulillah...hari nie ada sedikit ruang untuk dikongsi bersama. Itu pun setelah 3 laporan aktiviti siap dibuat. Hehehe...

Kembali kepada tajuk asal, tahun lalu lawatan pertama dibuat ke RTM Tawau sebelum lawatan ke Kolej Vokasional. Tetapi ceritanya dahulu ke Kolej Vokasional baru RTM...hehehe...Apapun salah Kancil sebab keliru. Keliru sudah terpost ke Lawatan RTM tu...rupanya belum. 

Seramai 15 orang murid dan 2 orang guru pengiring menyertai lawatan tersebut. Lawatan ini bertujuan memberi pengalaman kepada murid mengenai dunia penyiaran dan mengetahui lokasi sebenar RMT ini. Selain itu, menghebahkan kepada murid bahawa Tawau memiliki stesen radio sendiri. 

Setiba di RMT, kami disambut oleh Puan Normah Haji Tohing yang merupakan Ketua Bahagian Rancangan. Beliau menerangkan kepada kami mengenai sejarah RMT dan perkhidmatan yang disediakan untuk umum. Setelah taklimat daripada Puan Normah, kami dibawa masuk ke dalam konti radio yang kebetulan Dejay Tamrin dan Dejay Zee sedang bertugas. Terus juga Kancil kena temubual oleh mereka berdua secara live...huhuhu...bergegar juga lutut Kancil.

Apapun, ia satu pengalaman yang menarik dan tidak dapat dilupakan oleh kami semua. Sebenarnya, Kancil sendiri tidak pernah datang ke sini hanya lalu sahaja. Lagipun RMT nie laluan ke Pasaraya Giant Tawau. Bersebelahan dengan Kem Tentera Kabota, Tawau. Kami pun dibawa bahagian - bahagian lain di dalam RMT. Jom kita lihat beberapa keping gambar sepanjang berada di RMT.


Suasana konti RMT


Kancil mencuba mengangkat kamera seberat 3 kg dan adik Khairil sedang mencuba menjadi penyampai berita

Terima kasih kerana sudi membaca dan tinggalkan komen di blog Kancil 8349.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...