Bagaimana saya ingin menceritakan suasana sedih yang berlaku di kawasan saya. Ini adalah entri pertama saya menceritakan suasana sedih. Hati saya sedih ketika menekan punat - punat keyboard. Namun saya cuba menyusun ayat agar apa yang saya cuba ceritakan senang dibaca dan difahami oleh rakan - rakan yang sudi membaca blog saya.
Hari ini, kami sekeluarga menerima khabar sedih apabila ahli keluarga sebelah isteri saya iaitu "Nek Jah" telah kembali ke rahmatullah pada awal pagi tadi. Berita yang amat terkejut untuk kami terima. Kerana 2 hari sebelum ini, kami sempat bertemu di majlis hari jadi "Nenek Dayang" di istana kuning (yang kami gelar). Tidak sangka, itu merupakan pertemuan kami yang terakhir.
Pada pukul 2 pagi, isteri saya menerima panggilan daripada seorang amah di istana kuning tersebut. Meminta keluarga kami datang ke hospital kerana "Nek Jah" sedang nazak. Isteri saya terkejut dan terus membuat panggilan telefon emaknya yang pada ketika itu berada di Bandar Sri Indah, Tawau. Hati saya berasa lain. Seperti merasakan sesuatu yang tidak baik akan berlaku. Perasaan ini pernah terjadi pada hari pemergian adik kandung dan nenek saya pada masa dulu.
Tepat pada pukul 2.50 pagi, isteri saya menelefon dari hospital memberitahu khabar sedih. Katanya "Nek Jah" sudah meninggal dunia. Jantung saya berdegup kencang. Semacam tidak percaya. Sememangnya saya mengetahuinya keadaan "Nek Jah" kurang sihat tetapi itulah takdir Tuhan. Tiada siapa yang mampu menghalangnya.
Saya tidak dapat menahan airmata saya pada masa itu bila saya melihat anak sulung saya yang masih tidur. Dia masih mentah untuk mengerti semua ini. Dia terlalu manja dengan "Nek Jah"...apa sahaja kemahuannya akan "Nek Jah" turuti. "Nek Jah" terlalu sayangkan anak saya yang seorang ini. Sedang saya mengelamun di atas katil, anak sulung saya Aiman terjaga dari tidur.
"Ayah! mana mama? Mahu susu" tanpa membuang masa saya terus ke dapur membuatkan susu untuk dia. Bila siap saya terus memberikan kepadanya. Tetapi dia tidak pun meminumnya. Malah berasa gelisah dan tidak sedap badan pada masa itu. Adakah anak ini tahu?
"Ayah! Man tidak boleh tidur."
"Mari sini Man...Ayah tidurkan"
Anak saya bangkit menuju ke tempat saya tidur. Dalam masa yang sama, anak kedua saya pun bangun. Dilihatnya kami berkumpul, dia pun ikut serta. Pada pukul 5.30 pagi, isteri saya kembali dari hospital dan meminta izin daripada saya untuk ke rumah arwah. Saya mengizinkannya. Saya lihat isteri saya masih menitiskan airmatanya. Hati saya bertambah sedih namun saya tetap tabahkan diri.
Lebih kurang 12 tengah hari sebelum waktu solat Zuhur, jenazah dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam dekat SM Islamiah Tawau. Ramai orang yang menghadirkan diri masa pengkebumian tersebut. Lebih kurang 1.15 petang, isteri saya memanggil anak saya pertama dan memberitahu khabar sedih kepada anak saya. Walaupun berusia masuk 4 tahun, seperti dia mengerti akan kehilangan "Nek Jah" nya. Dia menangis apabila emaknya berkata "Nek Jah" sudah tiada.
Siapa sebenarnya "Nek Jah" di dalam keluarga kecil kami. Dia seorang yang baik dan sering mengambil berat tentang keluarga kami terutamanya si Aiman. Semasa saya dan isteri saya berkahwin, arwah telah mengorbankan wang ringgit untuk majlis perkahwinan kami. Bukan setakat itu sahaja, arwah pernah membeli tiket kapal terbang untuk isteri dan anak saya semata - mata ingin berjumpa dengan Aiman. Ketika itu saya masih berkerja di Kota Kinabalu.
"Nek Jah" selalu membelikan pakaian, pampers, susu dan permainan anak - anak saya. Arwah terlalu sayangkan anak - anak saya. Ini kerana, mertua perempuan saya pernah menjaganya semasa kecil. Dan sebagai balasan, arwah menjaga pula cucu mertua perempuan saya. Memang sedih di atas kehilangan beliau. Seluruh keluarga di Batu 2, Batu 4 dan di Istana Kuning merasakan kehilangannya.
Hanya doa sahaja yang kami mampu berikan kepada arwah. Sepanjang hayat arwah, beliau tidak lokek memberi wang gajinya kepada keluarga kami. Beliau sentiasa sahaja mengambil berat di atas kebajikan kami. Moga, arwah akan dikenang oleh anak - anak saya walaupun beliau sudah tiada.
Marilah kita sama - sama membacakan Surah Al - Fatihah untuk arwah dan mendoakan rohnya dicucuri rahmat....AMIN!!!