Rakan Blogger

Sunday, June 7, 2020

Yaris Membuatkan Kancil Terpersona

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua rakan blogger dan pembaca setia yang sudi singgah ke blog Kancil 8349.

Sepanjang PKP ini, sepatutnya ada peluang untuk membuat cerita di dalam blog. Tetapi mood Kancil pula tiada. Banyak cerita ini dikongsi namun terbantut untuk menaip. Malam ini Kancil cuba untuk berkongsi pengalaman.

Bulan lalu, Kancil telah menjual kereta Kancil kepada dealer. Kereta tersebut sudah berkhidmat lebih 15 tahun dengan Kancil. Memang tidak sampai hati mahu menjualnya tetapi sudah tiba masanya untuk bergerak ke hadapan. Tapi sebagai menghargai jasanya pada Kancil dan keluarga Kancil, blog ini dibiarkan dengan nama Kancil sahaja.

(gambar ihsan dari google)


Bulan lalu juga, Kancil ada pandu uji kereta macam di atas. Korang tahu kan apa nama kereta tersebut. YARIS....jenama TOYOTA. Baru juga Kancil tahu bahawa jenama kereta import yang paling laris di Malaysia ialah jenama HONDA. Tetapi di Sabah lebih kepada TOYOTA. So Kancil pun memilih Toyota. Sebelum ini, memang ada kereta nombor dua iaitu Avanza.

Apa yang membuat Kancil terpersona dengan Yaris? Banyak aspek yang Kancil pilih sehingga jatuh hati kepadanya. Nak tahu...jom baca selanjutnya.

Warna
Kancil memang suka warna hijau walaupun warna kegemaran adalah biru tetapi kalau pasal kereta lebih kepada hijau. Sedap mata memandang. Sehingga salesgirl toyota katakan kepada Kancil adakah Kancil ini pengikut politik PAS. Ya Allah! Kancil tidak terlibat dengan mana - mana parti politik. 

Butang Hidup/Matikan 
Ini lebih moden lagi. Tak kan masih mahu pakai yang berkunci. Hehehe...maaf eya. Ini pandangan Kancil sahaja. Memandangkan Yaris ini adalah tanpa kunci. Kancil terasa teruja. Lebih - lebih lagi, hanya tekan butang di tombol pintu untuk membuka pintu kereta tersebut. Tidak perlu menekan di anak kuncinya. Dengan syarat anak kunci berada di dalam poket kita.

Dash Cam
Ini percuma untuk kelas G Yaris. Pergh...lengkap. Kancil ada pernah beli Dash Cam untuk Avanza, Tidak sampai 5 bulan sudah rosak. Aduh...pening kepala. Dengan adanya ini, tidak perlu risau. Selamat kita berjalan malah boleh merakam perjalanan kita. Lebih - lebih lagi, Kancil ada youtube channel. Boleh kongsi perjalanan....hehehe.

Cermin Titik Buta 
Salah satu teknologi yang dilengkapi oleh Yaris. Tidak perlu risau jika ingin membelok masuk ke simpang. Ada bantuan amaran daripada cermin sesi. Perkara ini baru tapi tidak mengapa yang penting kita belajar.

Pemandangan 360 darjah (PVM)
Ini lagi yang membuatkan Kancil seronok. Boleh tengok semua sisi kereta. Lebih - lebih bila masa mahu letak kereta. Mudah dan bersahaja. 

Beg Angin (Air Bags)
Yaris memiliki 7 beg angin keselamatan. Memang kaw - kaw keselamatannya. 


Paparan Meter (MID)
Kancil teruja dengan paparan meter Yaris ini. Banyak maklumat yang kita dapat daripada paparan ini. Insya Allah nanti Kancil terangkan setelah memiliki kereta ini. 

Itulah antara sebab mengapa Kancil terpersona dengan Yaris. Banyak lagi cuma ini sebahagian yang Kancil ingin kongsikan. Kancil sudah pandu uji. Memang senyap dan tidak terasa membuang ketika membelok. Apapun itu sahaja yang Kancil dapat kongsikan.

Terima kasih kerana sudi singgah ke blog Kancil. 

Tuesday, June 2, 2020

6 Bulan Sunyi Sepi

Assalamulaikum dan selamat datang kepada semua rakan blogger dan pembaca setia di blog Kancil 8349.

Agak lama menyepi dalam dunia maya. Lebih - lebih lagi dalam keadaan dunia yang sekarang ini di landa musuh senyap iaitu COVID - 19. Ada orang kata ini adalah tahun Corona. Kesepian blog seperti kesepian dunia tanpa manusia. Aduh! biar betul. Kebetulan pula.

Awal tahun ini, Kancil sibuk mengurus pasukan olahraga sekolah. Melatih dan mengurus surat menyurat atlet - atlet sekolah. Disebabkan itu, Kancil penat sehingga terlupa banyak perkara terutamanya blog ini. Kancil sedar, ada rakan - rakan blogger Kancil sama seperti Kancil. Sepi dan ada yang terus lenyap dari dunia blogger. Itulah perjalanan seorang blogger. 

Insya Allah Kancil akan kongsikan cerita mengenai kejayaan sekolah Kancil meraih kejuaraan sukan zon untuk buat kali pertama sehingga membawa nama sekolah ke peringkat negeri. Satu pencapaian yang Kancil inginkan sejak bergelar guru sukan. Impian tersebut tercapai dengan jayanya. Hanya ini sahaja coretan Kancil. Nanti kita sambung lagi.

Terima kasih kerana sudi singgah ke blog Kancil 8349.

Sunday, December 29, 2019

Ketam Segar Tanjung Perapat, Semporna Sabah

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan.

Selamat datang kepada semua rakan blogger dan pembaca setia yang sudi singgah ke blog Kancil 8349.

Makanan laut merupakan makanan yang paling digemari oleh kebanyakan kita. Tidak hairan ada yang sanggup berbelanja beratus - ratus ringgit untuk menikmatinya. Bekalan makanan laut tidak bermasalah kalau di Sabah cuma pada musim - musim tertentu sahaja. Seperti laut merah yang berlaku di perairan Pantai Barat Sabah dan musim hujan. Tentunya para nelayan tidak mahu mengambil risiko untuk turun ke laut.

Hari ini, Kancil ingin berkongsi mengenai makanan laut iaitu ketam segar. Kalau di Semporna, masyarakatnya memanggil Ketam Suri dan ia berwarna biru, putih dan kehitaman. Lebih dikenali oleh masyarakat Malaysia sebagai Ketam Bunga. Ketam ini sedap dimasak dalam apa jenis ramuan terutamanya kalau dimasak dengan kari. (bagi Kancil)

Image result for ketam suri"
(gambar ihsan daripada Google)

Kancil ini jarang makan ketam laut. Kalau ikut kiraan, dua tahun sekali baru dapat makan. Bukan kerana harganya tetapi Kancil ada masalah kegatalan di mulut dan hidung jika memakan makanan laut ini. Hehehe...sebab itu jarang makan. Namun beberapa bulan yang lalu, rakan - rakan Kancil suka menviralkan makanan ini. Mereka post di dalam group whatapps. Sehingga Kancil ingin mencuba dan merasa makanan laut ini.

So, Kancil membawa keluarga ke Tanjung Perapat di mana restornan yang memasak ketam suri ini. Perjalanan agak jauh dari Tawau dan memakan masa 1 jam 20 minit untuk tiba ke Semporna. Sekitar tahun 2011 dan 2012 Kancil selalu ke Tanjung Perapat tetapi tidaklah singgah untuk makan. Hanya lalu sahaja. Setiba di Tanjung Perapat, Kancil menyapa seorang lelaki untuk bertanyakan restornan tersebut. Tidak sangka, lelaki tersebut merupakan ketua kampung di kampung tersebut. Mesra dan ramah orangnya. Tapi sayang, Kancil tidak ingat namanya. Jom lihat beberapa keping gambar mengenai Tanjung Perapat, Semporna Sabah.


Jambatan yang menghubungkan restornan 


Pemandangan di pondok antara tanah besar dan restornan
 

Ketam Kari dan Sotong Goreng

Memang lazat dan mengeliurkan bila tengok gambar makanan ini. Hehehehe...harga untuk Ketam Kari ialah RM 22 sekilo manakala Sotong Goreng ialah RM 17, 500 gram. Jika ada rakan - rakan blogger dan pembaca ingin ke Semporna. Singgahlah dulu ke tempat ini di Tanjung Perapat, Semporna. Kancil ada hasilkan satu video untuk panduan rakan - rakan yang tidak mengetahui tempat tersebut.


Terima kasih kerana sudi singgah ke blog Kancil 8349.

Sunday, December 22, 2019

Facebook, Email dan Blog Cuba Dihack Oleh Manusia Tidak Bertanggungjawab

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan.

Selamat datang kepada semua rakan blogger dan pembaca setia yang sudi singgah ke Blog Kancil 8349.

21 hb Disember 2019 yang lalu, Kancil menerima mesej amaran dari pihak keselamatan Facebook  (FB) mengatakan bahawa seseorang telah mengubah kata laluan FB milik Kancil. Dan penceroboh tersebut telah melakukan kesalahan dengan menggunakan FB milik Kancil untuk meminta kredit (topup) kepada rakan FB Kancil. Rakan Kancil pada mulanya menyatakan rasa curiga kerana Kancil tidak pernah meminta kredit untuk topup telefon. Namun atas dasar sahabat dan bermungkinan bahawa Kancil memerlukan bantuan, beliau pun memberi kredit kepada penceroboh tersebut.

Kancil menyedari kejadian ini setelah berlakunya "chat" antara penceroboh dengan rakan Kancil di messeger FB. Kancil merasa curiga kerana tidak pernah pun bermesej dengan rakan tersebut. Memandangkan FB tersebut telah diceroboh. Kancil telah mengubah kata laluan dengan bantuan pihak keselamatan Facebook. Dan Kancil telah maklumkan kepada rakan - rakan FB di halaman FB Kancil mengenai kejadian ini Selain itu, memviralkan di kesemua "group whatapps". Takut - takut penceroboh ini cuba bermesej dengan rakan - rakan Kancil untuk meminta atau meminjam duit.

Kancil telah siasat bahawa penceroboh ini telah menggunakan FB Kancil untuk link permainan online seperti PUBG, Mobile Legend dan Free Fire. Walaupun Kancil bermain permainan online (kecuali Free Fire) tetapi Kancil tidak akan link kan permainan tersebut ke FB Kancil. Dan Kancil telah keluarkan permainan tersebut di dalam FB milik Kancil. 

Pada lewat malam hari yang sama, Kancil menerima amaran keselamatan daripada pihak Google bahawa kata laluan email Kancil telah diubah. Ah...sudah bukan setakat FB malah email pun cuba digodam. Nasib juga, Kancil belum tidur dan terpaksa menyelamatkan email milik Kancil. Satu persatu amaran Kancil terima daripada pihak keselamatan online. Ini menyebabkan Kancil rasa tidak selesa dan tidak dapat tidur kerana cubaan penceroboh ini. 

Sedangkan blog milik Kancil pun telah memberi amaran bahawa ada penceroboh cuba mengakses blog ini. Alhamdulillah Kancil bertindak pantas dan terima kasih kepada pihak keselamatan online memaklumkan kejadian tersebut. Apa yang menakutkan Kancil, penceroboh ini akan cuba pelbagai cara untuk mengakses data - data peribadi milik kita untuk tujuan yang tidak bertanggungjawab. Ini merupakan kali pertama Kancil menghadapi situasi sebegini. 

Saranan Kancil kepada rakan - rakan blogger atau pembaca, buatlah dua email atau lebih. Memang payah mahu ingat namun dengan ada email - email ini dapat menyelamatkan media sosial kita daripada diceroboh atau disalahguna oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Ini kerana, bila media sosial kita diceroboh, kita akan menerima mesej amaran daripada email - email milik kita. Dan kita kena set kan amaran pada media sosial kita jika berlakunya pencerobohan. 

Kancil tahu bahawa penceroboh ini mengenali Kancil dan akan cuba memantau semua media sosial milik Kancil. Doa Kancil kepada penceroboh, anda bijak dan pandai. Gunakan kepandaian tersebut dengan cara yang membantu orang lain dan bukannya menyusahkan orang lain. Allah berikan anda keistimewaan bukan tujuan yang salah tetapi bertujuan untuk kebaikan. 

Terima kasih kepada semua rakan blogger dan pembaca setia yang sudi singgah ke blog Kancil 8349

Sunday, December 15, 2019

Cuti Yang Tertangguh

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.

Selamat datang kepada semua rakan blogger dan pembaca setia ke blog Kancil 8349.

Hampir 3 minggu sejak cuti sekolah bermula. Kancil sekeluarga hanya bercuti di dalam daerah. Kalau pun keluar daerah jumpa mak Kancil di daerah Lahad Datu dan adik beradik di daerah Semporna. Dan paling penting ziarah kubur arwah bapa Kancil di Semporna. 

Isteri Kancil teringin bercuti ke Kota Kinabalu tak pun pergi ke Sandakan. Tapi Kancil katakan kita akan bercuti pada tahun hadapan (2020) kerana tahun ini tidak dapat kumpul duit seperti tahun - tahun sebelum ini. Mungkin rakan - rakan blogger tertanya - tanya mengapa menyepi betul blog Kancil nie. Sebenarnya banyak faktor hingga blog ini tersepi. Apa lagi mahu bercuti ke tempat - tempat menarik.

2016 adalah tahun gelap bagi kami sekeluarga kerana anak kedua Kancil mendapat sakit sawan di usia 7 tahun. Penyakit yang susah diubat sehingga pelbagai ustaz dan doktor dipanggil tapi tetap sama. Akhirnya kami membuat keputusan untuk berubat di ibu kota negeri Sabah iaitu Kota Kinabalu. Dalam keadaan yang tidak stabil kami bersyukur kerana ada yang sudi membantu. Terus terang Kancil katakan, Kancil terpaksa meminjam duit beribu untuk mengubat anak kedua Kancil.

Selain itu, mantan guru besar Kancil yang cukup baik dan memahami keadaan kami sekeluarga membenarkan Kancil bercuti tanpa rekod. Masih teringat kata - kata beliau di telefon. Keluarga yang paling penting. Uruslah keluargamu. Di sini biar saya urus sebagai majikan kamu. Rasa bertuah memiliki seorang pentadbir yang memahami keadaan pekerjanya. 

Sebagai balasan atas jasa beliau, acapkali beliau meminta bantuan Kancil akan berusaha untuk melakukannya. Teringat bila dia meluahkan masalah bahawa dia perlukan guru yang boleh mengajar menari. Kancil tawarkan diri Kancil untuk menjadi guru tersebut. Kancil tiada sijil atau latihan untuk mengajar menari tetapi Kancil pernah menghantar dan mengajar pasukan tarian di sekolah lama Kancil. Untuk makluman rakan - rakan blogger, Kancil pernah ditawarkan melatih pasukan tarian sekolah menengah tetapi disebabkan Kancil sibuk dengan aktiviti di sekolah. Kancil tolak.

Berbalik kepada cuti yang tertangguh. Kerana hutang yang beribu itulah Kancil kurang berjalan ke mana - mana. Kurang terlibat dengan aktiviti rakan - rakan sekerja. Pernah sekali rakan sekerja mengajak bermain bola sepak tetapi Kancil menolak kerana masalah kewangan. Rakan tersebut membelikan sepasang kasut untuk Kancil dan beliau berkata bayarlah bila kau cukup duit. Terharu Kancil dengan tawaran tersebut.

Bagi rakan - rakan Kancil, mereka tidak mengetahui masalah Kancil sebenarnya. Iyalah kita tidak mahu kecoh dan hebahkan kepada mereka. Terasa hati juga Kancil bila mereka sindir Kancil kerana tidak mampu membeli peralatan yang sama seperti mereka. Kancil cuma diamkan diri sahaja. Tidak mahu buat perkara yang boleh sakitkan hati mereka walaupun mereka sudah melukakan hati kita. Apa yang penting, anak - anak Kancil tidak lagi sakit dan terjaga kesihatan mereka.

Doakan Kancil dapat bercuti seperti biasa...doa kalian mampu mengubahnya.

Terima kasih kerana sudi singgah ke blog Kancil 8349.

Friday, December 6, 2019

Memancing Di Inderasabah Fishing Paradise, Tawau

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Selamat datang kepada semua rakan blogger dan pembaca setia ke blog Kancil 8349.

Aktiviti memancing merupakan salah satu hobi Kancil. Kancil suka memancing ikan. Acapkali balik ke Semporna, Kancil dan sepupu Kancil akan merancang membuat aktiviti memancing di Silawa, Pulau Bait, Semporna. Kini, setelah berkeluarga. Masing - masing mengikut haluan yang berbeza. Walaupun berkerja di daerah yang sama namun bidang kerja yang berbeza membuatkan kami jarang berjumpa dan membuat aktiviti bersama.

Pada akhir 2017, Kancil mengajak keluarga Kancil memancing. Sememangnya isteri Kancil tidak berminat untuk memancing ikan kerana dia tidak biasa dengan laut. Namun kerana bimbang akan keselamatan Kancil yang bermungkinan bersendirian di laut. Beliau telah temankan Kancil. Bukan juga di laut tapi di kuala sungai iaitu pertembungan air laut dan air sungai.


Gambar di atas adalah hasil tangkapan yang berjaya kami naikkan. Lebih kurang 20 ekor ikan. Sejak dari itu, isteri Kancil berminat memancing ikan. Beliau sentiasa bertanya bila masa lagi memancing ikan. Kancil akan memilih waktu air mati. Dan selalunya berlaku pada minggu kedua atau keempat pada setiap bulan. Pada waktu itu pula banyak aktiviti sekolah kena buat. Kekadang tidak dapat memancing kerana aktiviti sekolah.

Pada 5 hb 12 2019, Kancil sekali lagi mengajak keluarga Kancil pergi memancing ke Inderasabah, Tawau. Sememangnya kami akan bergerak awal pagi untuk mengambil tempat (pondok memancing) di sana. Perjalanan mengambil masa di antara 35 minit atau 40 minit ke sana dari tempat tinggal Kancil. Lebih kurang 34 KM jauhnya dari tempat tinggal Kancil.

Bayaran masuk untuk letak kenderaan adalah RM 3 dan harga pondok yang disewa bergantung pada jenis pondok yang ingin kita sewa. Kami sekelurga memilih harga RM 50 kerana pondok ini ada pagarnya dan memberi keselematan kepada anak - anak Kancil. Harga pondok bermula dari RM 10, RM 30, RM 50 dan RM 150. Berikut adalah gambar - gambar semasa kami memancing di sana.


Tempat letak kenderaan yang luas


Gambar kenangan yang disemadikan di restoran Inderasabah Fishing Paradise


Kawasan tempat memancing


Ikan Taliban (ikan yang besar berjaya dinaikkan)


Hasil tangkapan kami (12 ekor sahaja)

Untuk memancing, kita hendaklah memilih pondok yang sesuai. Mana - mana pondok pasti ada ikannya dan bergantung kepada rezeki masing - masing. Pernah ada yang dapat ikan siakap, ikan kerapu, ikan kerapu merah dan macam - macam jenis ikan lagi. Kancil pula mesti berjaya naikkan ikan belawis atau ikan taliban. Itu sahaja perkongsian kancil pada hari ini. Semoga ada yang berminat untuk memancing ke kawasan ini. Berikut adalah video yang Kancil hasilkan jika ada rakan - rakan pembaca yang ingin ke sana.



Terima kasih kerana sudi singgah ke blog Kancil 8349.

Tuesday, December 3, 2019

Sankina Hotspring Park, Tawau

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Selamat datang kepada semua rakan blogger dan pembaca setia ke blog Kancil 8349.

Dalam cuti sekolah, ramai di kalangan kita sudah merancang untuk bercuti ke mana. Ada yang pilih ke luar negeri mahupun negara. Tidak kurang juga yang merancang di dalam negeri ataupun paling dekat di belakang rumah. Bila melancong tu, kena fikir kos perjalanan. Jangan main bantai sahaja. Nanti merana badan.

Tahun ini, Kancil sekeluarga merancang percutian di dalam daerah sahaja. Tidak mahu pergi jauh - jauh. Selalunya merancang ke Kota Kinabalu. Tapi tahun ini belum lagi. Percutian kali ini, kami pilih beberapa tempat dan ini adalah salah satu percutian pertama kami sekeluarga. Jom lihat beberapa keping gambar yang sempat isteri Kancil ambil. Kancil dan anak - anak pergi mandi...hehehehe







Bayaran masuk pada masa kini adalah RM 21 untuk dewasa dan RM 16 untuk kanak - kanak. Ada kawan memberitahu bahawa bayaran ini adalah mahal. Tapi bagi Kancil sekali sekala membawa anak - anak ke sini tidak mengapa. Beri pengalaman bersama dengan keluarga. Anak pertama Kancil sudah naik ke tingkatan satu pada tahun depan. Cepat betul masa berlalu. So, ambillah peluang yang ada dengan mereka.

Bagi yang mereka ingin ke sana. Kancil ada membuat video pendek. Video ini sebagai panduan kepada rakan - rakan yang ingin ke sini. Jom lihat video ini


Terima kasih kerana sudi singgah ke blog Kancil 8349.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...