Rakan Blogger

Sunday, December 15, 2019

Cuti Yang Tertangguh

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.

Selamat datang kepada semua rakan blogger dan pembaca setia ke blog Kancil 8349.

Hampir 3 minggu sejak cuti sekolah bermula. Kancil sekeluarga hanya bercuti di dalam daerah. Kalau pun keluar daerah jumpa mak Kancil di daerah Lahad Datu dan adik beradik di daerah Semporna. Dan paling penting ziarah kubur arwah bapa Kancil di Semporna. 

Isteri Kancil teringin bercuti ke Kota Kinabalu tak pun pergi ke Sandakan. Tapi Kancil katakan kita akan bercuti pada tahun hadapan (2020) kerana tahun ini tidak dapat kumpul duit seperti tahun - tahun sebelum ini. Mungkin rakan - rakan blogger tertanya - tanya mengapa menyepi betul blog Kancil nie. Sebenarnya banyak faktor hingga blog ini tersepi. Apa lagi mahu bercuti ke tempat - tempat menarik.

2016 adalah tahun gelap bagi kami sekeluarga kerana anak kedua Kancil mendapat sakit sawan di usia 7 tahun. Penyakit yang susah diubat sehingga pelbagai ustaz dan doktor dipanggil tapi tetap sama. Akhirnya kami membuat keputusan untuk berubat di ibu kota negeri Sabah iaitu Kota Kinabalu. Dalam keadaan yang tidak stabil kami bersyukur kerana ada yang sudi membantu. Terus terang Kancil katakan, Kancil terpaksa meminjam duit beribu untuk mengubat anak kedua Kancil.

Selain itu, mantan guru besar Kancil yang cukup baik dan memahami keadaan kami sekeluarga membenarkan Kancil bercuti tanpa rekod. Masih teringat kata - kata beliau di telefon. Keluarga yang paling penting. Uruslah keluargamu. Di sini biar saya urus sebagai majikan kamu. Rasa bertuah memiliki seorang pentadbir yang memahami keadaan pekerjanya. 

Sebagai balasan atas jasa beliau, acapkali beliau meminta bantuan Kancil akan berusaha untuk melakukannya. Teringat bila dia meluahkan masalah bahawa dia perlukan guru yang boleh mengajar menari. Kancil tawarkan diri Kancil untuk menjadi guru tersebut. Kancil tiada sijil atau latihan untuk mengajar menari tetapi Kancil pernah menghantar dan mengajar pasukan tarian di sekolah lama Kancil. Untuk makluman rakan - rakan blogger, Kancil pernah ditawarkan melatih pasukan tarian sekolah menengah tetapi disebabkan Kancil sibuk dengan aktiviti di sekolah. Kancil tolak.

Berbalik kepada cuti yang tertangguh. Kerana hutang yang beribu itulah Kancil kurang berjalan ke mana - mana. Kurang terlibat dengan aktiviti rakan - rakan sekerja. Pernah sekali rakan sekerja mengajak bermain bola sepak tetapi Kancil menolak kerana masalah kewangan. Rakan tersebut membelikan sepasang kasut untuk Kancil dan beliau berkata bayarlah bila kau cukup duit. Terharu Kancil dengan tawaran tersebut.

Bagi rakan - rakan Kancil, mereka tidak mengetahui masalah Kancil sebenarnya. Iyalah kita tidak mahu kecoh dan hebahkan kepada mereka. Terasa hati juga Kancil bila mereka sindir Kancil kerana tidak mampu membeli peralatan yang sama seperti mereka. Kancil cuma diamkan diri sahaja. Tidak mahu buat perkara yang boleh sakitkan hati mereka walaupun mereka sudah melukakan hati kita. Apa yang penting, anak - anak Kancil tidak lagi sakit dan terjaga kesihatan mereka.

Doakan Kancil dapat bercuti seperti biasa...doa kalian mampu mengubahnya.

Terima kasih kerana sudi singgah ke blog Kancil 8349.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...